Sunday, February 13, 2011

Cegah Perbuatan Sambut Hari Kekasih

Gambar hiasan.
Boleh dikatakan,tarikh 14 Februari setiap tahun yang sinonim dengan sambutan Hari Kekasih atau 'Valentine's Day' ditunggu kebanyakan pasangan kekasih dengan alasan bagi menzahirkan rasa cinta yang bersemi.Malah seiring dengan sambutan Hari Kekasih hari ini,banyak ulama yang putus asa mengingatkan umat Islam,khususnya remaja,tidak terikut-ikut dengan sambutan itu,apatah 'meraikan' dengan kekasih hingga terlanjur kerana ia bertentangan dengan agama Islam dan menjurus kepada maksiat dan perzinaan.
Gambar sekadar hiasan.

Budaya menyambut Hari Kekasih di negara kita boleh dikatakan meluas apabila masih ramai pasangan kekasih menggunakannya untuk 'menzahirkan' rasa cinta hingga terlanjur dan paling teruk menghasilkan benih anak luar nikah.Sungguh menyedihkan melihat anak muda Islam beria-ia menyambutnya penuh bangga,malah menunggunya setiap tahun.

Rasullullah SAW pernah berpesan yang bermaksud :"Sesiapa melakukan perbuatan menyerupai sesuatu kaum,ia termasuk bersama golongan itu."

Saidina Umar Al-Khattab pernah menyatakan :"Kita adalah satu bangsa dan golongan yang dimuliakan Allah apabila kita berpegang kepada ajaran Islam.Namun jika kita mencari kemuliaan selain daripada cara Islam,sudah tentu Allah akan menimpakan kepada kita kehinaan."

Generasi muda sepatutnya sedar dan insaf beramal dan mengikut budaya selain Islam,terutamanya dalam meraikan hari tertentu,boleh menjejaskan akidah dan menghakis keluhuran budaya tempatan.Ingatlah firman Allah dalam Surah Faathir,ayat 8 yang bermaksud :"Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik."

Sesungguhnya generasi muda akan mengalami kerencatan pada masa depan jika mereka dibuai dan dihanyutkan dalam budaya yang tidak mendatangkan manfaat.

Sama-samalah kita mencegah perbuatan menyambut Hari Kekasih bagi mengelak maksiat yang mengundang perzinaan yang dikhuatiri menambah bilangan anak luar nikah yang akhirnya mengundang jenayah lain seperti pembuangan bayi.

( Sumber : Metro Ahad,13 Februari 2011 )

No comments:

Post a Comment