Sunday, September 4, 2011

Perginya Di Anggap Wira

               Noramfaizul Mohd Nor,39 - Namanya mungkin tak dikenali oleh kebanyakan rakyat Malaysia sebelum ini.Namun dek kerana peristiwa hitam yang meragut nyawa beliau ketika menjalankan tugas sebagai jurukamera Agensi Berita BERNAMA TV untuk projek misi khas Kelab Putera 1 Malaysia di Somalia tanggal 3 September 2011,beliau diangkat sebagai wira negara.Takziah saya ucapkan buat seluruh ahli keluarga beliau.Sesungguhnya kehilangan beliau mungkin sesuatu yang amat tidak dijangka sama sekali bagi kebanyakkan anggota misi.

                Dengan niat untuk memberi sumbangan bakti kepada masyarakat antarabangsa,kita telah kehilangan seseorang yang dapat berkongsi cerita di dunia luar sana.Amat malang sekali perkara sebegini berlaku dalam keadaan tugas seseorang wartawan mahupun jurugambar adalah berkecuali dalam apa keadaan sekalipun temasuk situasi peperangan.Tugas wartawan hanya menyampaikan berita.Oleh itu kematian yang berlaku amat tidak dapat diteima akal kerana mereka tidak menggangu gugat mahupun mencederakan sesiapa.

                Oleh yang demikian,sepertimana yang dijanjikan oleh Presiden Somalia,Sheikh Sharif Sheikh Ahmad kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak untuk menyiasat kejadian ini dan menghadapkan kepada sesiapa yang terlibat ke muka pengadilan amatlah diharapkan.

                Di sebalik kejadian ini juga, ramai pihak mengharapkan agar segala misi bantuan kemanusiaan antarabangsa terutama di negara-negara bergolak agar dikaji semula.Mungkin kita tidak perlu lagi menghantar kumpulan-kumpulan NGO seperti itu sebaliknya sumbangan dihantar menerusi pasukan keselamatan ataupun melalui kedutaan-kedutaan yang terlibat.Atau mungkin juga kita mengutamakan untuk memberi bantuan kepada rakyat-rakyat termiskin di negara kita yang tidak kurang juga jumlahnya.

                Namun seandainya ada kumpulan yang tetap ingin meneruskan misi-misi kemanusiaan seperti itu,maka aspek keselamatan perlulah sentiasa dititikberatkan sentiasa seperti menggunakan jaket kalis peluru.Benar,malang tidak berbau,namun kita mampu untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak ada lagi mangsa yang terkorban.

                Sekali lagi kepada arwah Noramfaizul Mohd Nor - anda adalah ikon kepada seluruh wartawan-wartawan dan jurugambar-jurugambar di Malaysia.Anda adalah wira kepada ibubapa,isteri dan anak-anak anda yang masih kecil.Anda adalah simbol kepada rakyat Malaysia yang prihatin,aman,berdedikasi dan bersemangat juang tinggi.Semoga roh anda dlindungi rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.Amin.

Alfatihah.

No comments:

Post a Comment