Sunday, March 26, 2017

RAHSIA KEIBUBAPAAN ( MENURUT PANDANGAN SEORANG PENDIDIK)

Mengurus anak-anak zaman sekarang tidak serupa lagi zaman 60an, 70an, mahupun 80an yang lalu. Pendekatan yang harus dilakukan sedikit sebanyak perlulah sedikit berbeza walaupun sebenarnya ia tidak lari dari peranan dan tanggungjawab ibubapa yang lazimnya dilakukan sejak dahulu lagi.

Apa yang saya tulis ini bukanlah dari seorang pakar dalam bidang keibubapaan. Saya hanya ingin berkongsi berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sebagai anak, bapa, guru dan kini pegawai yang menguruskan hal ehwal disiplin murid di sebuah negeri.

Berikut merupakan antara ciri-ciri yang saya rasa boleh dijadikan panduan dalam pengurusan keibubapaan.

1. BERIKAN KASIH SAYANG DAN PERHATIAN KEPADA ANAK.
        Perkara yang paling utama dan perlu didahulukan oleh ibubapa dalam menguruskan anak-anak mereka ialah dengan memberikan kasih sayang yang secukupnya. Hal ini perlu dimulakan seawal usia mereka 1tahun lagi. Jangan mula berhenti walau kita telah bertambah zuriat atau anak-anak ini meningkat usianya. Kasih sayang juga harus dilengkapkan dengan perhatian kepada setiap ucapan atau tingkah laku anak-anak kita. Ramai dikalangan ibubapa masa kini gagal dalam memberikan perhatian kepada anak-anak mereka atas alasan kesibukan bekerja untuk mencari rezeki. Ini yang sepatutnya diperbetulkan. Ketahuilah tuan-tuan, kegagalan tersebut akan menyebabkan anak-anak mencari sumber perhatian dari insan yang tidak sepatutnya.

2. JANGAN TERLALU MEMPERCAYAI ANAK.
    Satu kesilapan yang banyak berlaku pada ketika ini ialah, ibubapa mula bersikap "protective " atau dalam kata lainnya terlalu melindungi anak-anak. Ada ketikanya kepercayaan yang diberikan sangat keterlaluan. Betul, anak-anak biasanya akan bercakap benar terhadap ibubapa mereka. Tapi itu pun atas perkara yang mereka rasakan perkara yang mereka lakukan itu tidak salah dan tidak mungkin dimarahi ibubapa. Namun adakah anda fikir anak anda akan mengaku jika mereka merokok ? (Sebagai contoh). Sudah tentunya tidak.

Ini yang sebenarnya banyak berlaku pada hari ini. Pengalaman saya sebagai guru dan pegawai disiplin murid ketika berhadapan dengan isu-isu sebegini, kebanyakan ibubapa tidak yakin bahawa anak mereka melakukan kesalahan yang dimaklumkan. Ini kerana ibubapa ini percaya anak mereka tidak pernah melakukan perkara yang tidak baik dihadapan mereka. Ditambah pula mereka diyakinkan oleh anak mereka bahawa mereka tidak melakukan kesalahan tersebut sebaliknya akan meletakkan kesalahan tersebut ke atas orang lain contohnya dengan menuduh rakan sebagai punca. Namun lazimnya, jika ada sesuatu perkara tidak baik yang diperkatakan tentang anak kita, siasatlah. Tak mustahil mungkin 50 % ada asasnya.

3. BERI KESENANGAN TAPI AJAR JUGA ERTI KESUSAHAN.
         Sudah sewajarnya tanggungjawab sebagai ibubapa memberikan keperluan hidup untuk anak-anak mereka tidak kira dari segi perbelanjaan, makan dan minum, pakaian mahupun pelajaran. Berilah apa yang mampu. Jangan kedekut khususnya untuk pendidikan mereka.
          Kebanyakan ibubapa hari ini mempunyai kemampuan yang tinggi dalam membesarkan anak-anak mereka. Jadi tidak hairanlah ada anak-anak yang dibekalkan dengan belanja wang saku ke sekolah yang banyak, pakaian berjenama dan tak kurang juga anak-anak yang diberikan gadget seperti iphone dan ipad. Tidak mengapa, asal ada kemampuan masing-masing tambahan pula wang yang kita belanjakan itu untuk kita berkongsi kesenangan dengan anak-anak.
         Namun begitu, anak-anak ini juga wajar diajar sedikit erti kesusahan. Kita sebagai ibubapa jangan terlalu mudah memberi. Sikap itu akan membuatkan anak-anak akan bersikap sangat meminta. Kesannya nanti akan menjadi buruk. Mereka mungkin akan memberontak atau mendapatkan kehendak mereka dengan cara yang salah. Kita tidak mungkin tahu zaman senang atau susah kita. Berhati-hatilah.

Bersambung.

No comments:

Post a Comment